Bakti akhir ustazah, sempat ajar al-Quran sebelum maut kemalangan


Abang kepada Noor Aishah Mohd. Tahir, 26, wanita yang yang maut dalam kemalangan di Jalan Chemor-Jelapang di sini hari ini, tidak menyangka gurauannya dengan adiknya itu semalam merupakan kenangan terakhir mereka.

Abu Bakar Sideq, 32, berkata, dia sempat mengusik adiknya yang merupakan guru agama di Sekolah Menengah Tahfiz Al-Itqon di Seri Manjung ketika mangsa sedang menyemak bacaan al-Quran pelajarnya.

Katanya, Noor Aishah yang merupakan satu-satunya adiknya itu mengajar mengaji menerusi panggilan video selama sejam bermula pukul 8 malam.

“Selepas solat maghrib, Aishah mulakan kelas online dengan menyemak bacaan pelajarnya. Kelas berlangsung dalam tempoh sejam.

“Saya sempat usik-usik mereka, saja kacau pelajarnya semasa mereka sedang mengaji,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut Abu Bakar, adiknya itu dalam perjalanan pulang ke Batu Gajah setelah selesai membuat penghantaran makanan di Sungai Siput.

“Kami reda, Allah sudah tentukan bahagiannya dan kami terima. Ibu dan ayah pun sudah tahu kejadian menimpa anak bongsu mereka dan mereka tenang terima berita ini,” katanya yang memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tersusun Batu 6, Jalan Tanjung Tualang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati nahas berlaku semasa lori dipandu lelaki berusia 44 tahun itu dalam perjalanan dari Jalan Ipoh-Lumut menghala ke Sungai Siput. Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berat itu hilang kawalan dan masuk laluan kereta Persona dipandu mangsa yang ketika itu berada di arah Jalan Chemor ke Jelapang.

“Pemandu kereta mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu lori tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke HRPB untuk bedah siasat yang akan dijalankan esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam nahas sekitar pukul 10.25 pagi itu, pasukan bomba terpaksa menggunakan kren untuk mengalihkan lori muatan palet makanan ayam bagi mengeluarkan kereta mangsa yang terperosok di bawah kenderaan berkenaan. – UTUSAN

Sumber : wowberita

0 Response to "Bakti akhir ustazah, sempat ajar al-Quran sebelum maut kemalangan"

Posting Komentar