Menurut Noorul Hafizah setiap hari, dia mula berkerja seawal subuh dan tugasnya yang banyak kadangkala memaksa dia bekerja tanpa henti sehingga lewat malam.
“Akak bangun pukul 6 pagi, masak, kemas rumah sendiri… pukul 8 pagi akak pergi kemas rumah orang. Kadang tu tak rehat langsung, petang terus kerja dekat restoran sampai pukul 10 malam.
“Habis kerja di restoran akak pergi rumah orang lipat baju atau kadang-kadang sambung kerja hantar barangan online yang akak jual… akak jadi dropship.
“Pelanggan pun kadang-kadang ‘reda’ je akak datang malam, asalkan baju mereka berlipat dan kemas,” katanya.
Noorul Hafizah turut melakukan khidmat surprise delivery bersama rakannya.
Berkongsi pengalaman lucunya melipat pakaian yang ‘bergunung-ganang’, Noorul Hafizah berkata dia pernah menghabiskan lebih kurang lima jam untuk melipat semua pakaian yang dikumpul pelanggan.
“Memang nak muntah rasa tapi akak tak ada masalah sebab pelanggan semua baik-baik dan diaorang pun langsung tak kedekut.
“Mereka ni bukanlah malas, cuma kadang tu si suami nak mudahkan kerja isteri yang perlu jaga anak kecil, anak-anak nak ringankan beban mak ayah atau orang-orang tua yang dah tak larat, ada juga yang nak bagi pembantu mereka rehat jadi minta akak tolong lipat baju.
“Ada juga yang suami isteri bekerja, jadi bila cuti mereka nak luangkan masa dengan anak-anak. Kawan akak sendiri yang tahu akak perlukan duit lebih, mereka panggil tolong lipat kain, lepas tu mereka beri upah lebih,” katanya.
Noorul Hafizah pernah menghabiskan masa sekitar lima jam untuk menyudahkan tugasan melipat kain.
Usaha selagi mampu, jangan lupa doa kerana doa tanpa usaha itu sia-sia dan usaha tanpa doa itu sombong – ini antara kata-kata azimat yang dipegang Noorul Hafizah dalam mengharungi hari-harinya yang mencabar.
“Setiap pagi kita perlu positifkan diri untuk tempuh hari yang mencabar, akak selalu pesan pada diri usaha selagi mampu jangan lupa doa dan tawakal.
“Akak juga amalkan sikap bersangka baik dengan semua orang walaupun dah bermacam-macam akak tempuh,” katanya.
Menjadi runner untuk menghantar barangan dan makanan.
Dia juga bersyukur dengan sokongan yang diterima terutama sekali daripada keluarganya yang banyak membantu terutama sekali menjaga anak-anaknya ketika dia keluar mencari rezeki.
“Nasihat akak pada wanita di luar sana, bangkitlah bagi semangat pada diri sendiri, kalau bukan kita yang bantu diri kita orang lain tak akan dapat bantu kita.
“Cari aura-aura positif setiap hari, ini salah satu cara untuk kita mendapat kebahagiaan, selain memberi kebahagiaan kepada orang lain.
“Orang yang kuat adalah orang yang sedang bersedih tapi masih mampu untuk membahagiakan orang lain dan kekal kuat untuk menempuhi cabaran hidup ini,” katanya.
Sumber: mstar
0 Response to "Ibu Sanggup Lipat Pakaian Orang Sampai Jam 10 Malam Demi Sara Keluarga"
Posting Komentar